Selamat Hari Guru 2009

Salam semua…

Hari ini bersamaan dengan 16 Mei 2009, semua guru di serata pelosok Malaysia akan diraikan. Segala jasa dan pengorbanan mereka akan dikenang dan dikalungkan penghargaan. Setiap pelajar yang menghargai dan menghormati guru-guru mereka akan sibuk membuat dan membalut kad ucapan serta hadiah buat guru sanjungan mereka. Guru-guru dapat merasai satu hari di dalam satu kalendar penuh tahunan di mana mereka datang ke sekolah hanya untuk dihiburkan dan dihargai oleh para pelajar mereka dan satu hari di mana mereka tidak perlu mengisi masa dengan merancang pengajaran dan pembelajaran sebaliknya hanya perlu duduk berehat dan berbual-bual dengan rakan sekerja tentang segala memori pahit manis dan suka duka yang ditempuh sepanjang berada di dalam profesion keguruan.

Bagaimana bermulanya sambutan perayaan hari guru dan mengapa tarikh 16 Mei yang terpilih?

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Sambutan Hari Guru 2009

Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan bagi tahun 2009 telah diadakan pada 16 Mei 2009 iaitu hari ini di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Terengganu Darul Iman. Sambutan pada tahun ini disambut dengan tema baru iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa’.

Tema yang cukup jelas harus difahami dan diselami oleh setiap warga pendidik yang berada di setiap peringkat institusi pendidikan dan pengajian yang mana ia termasuklah tadika, sekolah rendah , sekolah menengah, kolej matrikulasi, kolej komuniti dan politeknik serta universiti. Sebagai seorang pendidik, matlamat berasaskan tema utama ini harus dipegang setiap kali merancang P&P dan setiap kali sebelum melangkah masuk ke kelas. Guru harus berfungsi sebagai penggerak dan pembina jatidiri negara bangsa di dalam minda dan sahsiah setiap insan yang dididik dan diajar. Murid ataupun pelajar terutama yang masih mentah di dalam mengenal erti negara bangsa seharusnya dibimbing dan dipandu untuk memahami konsep negara bangsa dengan lebih jelas dan terperinci.

Apakah itu negara bangsa?

Istilah “negara bangsa” menandakan bahawa kedua-duanya (negara dan bangsa) sebagai sama. Jika berjaya dilaksanakan, ia menandakan bahawa rakyatnya berkongsi satu bahasa, budaya dan nilai. Contoh negara bangsa yang dapat dilihat wujud di dunia ialah negara Jepun yang mana walaupun Jepun mengandungi beberapa kumpulan etnik minoriti yang lain, tetapi amalan dan budaya yang dikongsi adalah sama antara setiap individu. Etnik dan keturunan tidak pernah membatasi jatidiri mereka sebagai rakyat Jepun, sebagai bangsa Jepun yang mempunyai bahasa mereka sendiri iatu Bahasa Jepun dan sentiasa bangga dengan adat dan budaya ketimuran mereka yang tidak pernah sekali pun alpa untuk dipegang dan diamalkan sehingga mampu menjadi contoh tauladan kepada rakyat di negara lain termasuklah Malaysia. Konsep inilah yang harus difahami oleh setiap murid atau pelajar yang lahir dan dibesarkan di Malaysia supaya mereka dapat melaksanakan peranan mereka sebagai perintis bangsa Malaysia. Tidak kira Cina, India,Melayu,Singh, Orang Asli atau Bumiputra Sabah Sarawak, selagi mereka dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, mereka seharusnya bersatu sebagai satu bangsa Malaysia dan mengabaikan sebarang perbezaan yang ada. Budaya dan etika setiap kaum harus dihormati dan bagi yang positif, haruslah diterapkan sebagai budaya hidup bagi setiap individu berbangsa Malaysia, contohnya seperti bersalaman ketika berjumpa dan membuka kasut apabila masuk ke rumah.

Sekiranya aspirasi negara bangsa ini dapat difahami, lebih mudah bagi anak-anak muda kita untuk mendokong dan menjunjungnya. Sesungguhnya tiada apa yang lebih menguntungkan daripada melihat anak-anak muda kita bersatu hati tanpa mengira kaum berusaha membangunkan DAN menzahirkan tamadun bangsa Malaysia. Semoga amanah kita kepada mereka untuk sentiasa mengutamakan perpaduan bangsa Malaysia, menghindari persengketaan perkauman dan agama, serta memelihara kedamaian dan kemerdekaan bumi Malaysia yang sedia ada, akan dapat mereka pikul dengan sebaik-baiknya.  

Bagi semua guru yang berada di Malaysia, tidak kira la samaada anda digelar guru, dipanggil pengajar ataupun pensyarah, apa yang penting adalah tugas dan tanggungjawab kita adalah sama iaitu bagi memastikan setiap anak-anak yang berada di bawah asuhan, didikan dan bimbingan kita berjaya menggenggam ilmu yang kita sampaikan dan semoga ilmu yang digenggam itu mampu diaplikasi untuk mengukuhkan lagi tamadun negara dan seterusnya membawa negara kita ke peringkat yang lebih tinggi dan termasyhur di mata dunia.

Oleh itu di kesempatan ini, ingin sekali saya mengucapkan …
Selamat Hari Guru kepada semua dan semoga kita dapat terus komited dan berdedikasi di dalam melaksanakan tugas utama kita sebagai pendidik, pengasuh dan pembimbing anak-anak bangsa demi kepentingan negara di masa hadapan. Sesungguhnya tiada seorang doktor, jurutera, peguam, hakim mahupun Perdana Menteri yang dapat berdiri dengan gah pada hari ini tanpa pernah sekalipun mendapat asuhan dan didikan daripada seorang guru. Kerna itu, hargailah guru-guru anda, sampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih anda kepada mereka selagi mereka masih ada di dunia. 

Kerna..tanpa mereka, siapalah agaknya anda pada hari ini?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: