Adab Menuntut Ilmu

Antara adab-adab Berilmu / Berguru :

1. Menunjukkan tanda penghormatan pada guru dengan pertuturan, percakapan dan bahasa

Saya selalu berharap pelajar-pelajar dapat mempraktikkan adab yang pertama ini kerna ia menunjukkan budi    pekerti pelajar itu secara keseluruhannya. Kalau dia dapat menghormati gurunya, bermakna dia juga seorang yang  menghormati ibu bapa dan masih dapat dibentuk akhlak dan kelakuannya. Ada pelajar yang menunjukkan hormat  dengan cara memberi salam atau ucap selamat setiap kali bertembung dengan guru. Ada juga yang menundukkan  kepala tanda hormat. Satu lagi cara untuk menghormati guru atau pendidik anda ialah dengan mengucapkan terima  kasih atas ilmu dan bimbingan yang diberikan…..kerna setiap ilmu tersebut tak mungkin dapat kita kutip di tempat  lain dengan percuma seperti yang diberikan guru kepada kita. Buktinya? kalau kita nak mengetahui tentang sejarah  negara kita, kita perlu berkunjung ke muzium atau mencari maklumat dari Internet yang memerlukan kita untuk  mengeluarkan kos membayar yuran masuk ke muzium atau yuran langganan Internet. sebaliknya apabila mendengar  dari guru sendiri, kita tidak perlu membayar apa-apa, malahan kita dapat duduk bersandar dengan selesa sambil  ditiup angin sepoi-sepoi bahasa dari kipas siling…ditambah lagi kalau guru tersebut membuat aksi lakonan. dengan  percuma dapat menonton teater sejarah di dalam kelas.hmm…..alangkah mudahnya melihat dan mendengar  berbanding dengan  harus mencari dan membaca sendiri kisah sejarah tersebut…betul tak?
2. Bermuka manis dengan guru. Sabda Nabi SAW: “Senyuman itu suatu sadaqah”

Kita selalu mendengar lagu-lagu yang berkaitan dengan tuntutan atau galakan untuk sentiasa menghulurkan senyuman. Kenapa ya agaknya?

Kalau tengok iklan di TV, pakcik tua yang tiada gigi pun nampak comel bila tersenyum. Bila orang senyum pada kita,  lagi-lagi apabila senyuman tu ikhlas dari hati bukan paksaan, kita pun secara tidak lansung merasa tenang dan lega.  Iyelah, ingatkan orang tu sombong tapi bila dia senyum, hilang semua sangkaan2 dan persepsi buruk kita pada dia.  Dan kita sendiri pun rasa gembira sebab dengan senyuman tu menggambarkan diri kita dialu-alukan kehadirannya.  Bayangkanlah kalau kita pergi ke kedai runcit untuk membeli aiskrim, tiba-tiba pekedai itu menyambut dengan muka  masam tanpa senyuman. agaknya apa tindakan kita?? mungkin tak jadi membeli…mungkin beli juga tapi lepas tu  jangan haraplah nak jejak kaki ke situ lagi.

Kesimpulannya, senyuman itu menggambarkan kita seorang yang tidak sombong dan menghargai mereka yang  datang kepada kita. termasuklah guru kita. kita hargai apa yang mereka lakukan untuk menyampaikan secebis  pengetahuan berharga kepada kita. bayangkanlah kalau guru tak ajar kita, mungkin nak ambil wuduk sekarang pun  kita masih tak reti..
3. Berikan perhatian penuh pada guru (dalam mempelajari ilmu yang diajarkan)

Ada yang kata, “susahlah cikgu nak fokus. kawan saya ni asyik ganggu…” ada juga yang kata “ala boringlah cikgu  belajar benda ni..main game lagi best”..

Memanglah diakui, adakalanya dalam menuntut ilmu ni datang juga perasaan bosan dan susah nak beri tumpuan.  bukan apa..waktu ini lah yang syaitan rajin datang untuk bertenggek mengganggu anak Adam mendapat manfaat dari  ilmu yang disampaikan. jadi peranan kita seharusnya sentiasa ingat pada Allah, cuba melawan hasutan syaitan dan  niatkan menuntut ilmu demi mendapat keredhaan Allah dan demi masa depan keluarga kita. Bayangkanlah muka ibu dan  ayah yang tidak pernah lelah atau berhenti mencari rezki demi untuk menghantar kita ke sekolah, membelikan kita baju baru, kasut baru dan menyediakan pelbagai peralatan sekolah yang kita perlukan. Yang kita tahu..sebut sahaja nak apa, esok dah ada depan mata. Tak pernah terfikirkah kita berapa nilai harga barang-barang yang kita minta itu? Tak pernah terfikirkah kita berapa titik peluh yang harus jatuh dari pipi ayah dan ibu untuk mendapatkan nilai duit yang sama? Tak pernah terfikirkah kita  juga adakah sama nilai itu jika dibandingkan dengan hasil usaha kita di sekolah? Hargailah kesenangan sementara yang kita perolehi…gunakan dengan sebaiknya untuk membantu kita berjaya dalam pelajaran. Semoga dengan menumpukan perhatian kepada guru boleh membantu kita berjaya dalam pelajaran, walaupun kita bukanlah pandai sangat…tapi InsyaAllah berkat daripada ilmu dan keredhaan guru pada sikap kita yang menghormatinya, mungkin boleh membantu kita menjadi orang yang berjaya kelak.

Sekiranya datang rasa bosan, buatlah sesuatu untuk menghilangkan bosan tersebut seperti mencatit isi-isi penting daripada apa yang diajarkan guru,  melukis peta minda ringkas, menulis kata-kata hikmah atau lebih mudah, mengunyah gula-gula (tapi pastikan sampah pembalut tidak dibuang merata-rata..bertanggungjawab dengan sampah kita sendiri).

sewajarnya, janganlah lakukan aktiviti yang boleh mengganggu guru dan rakan-rakan lain yang sedang fokus di dalam kelas. Ingatlah..bukan kita seorang sahaja yang nak belajar, orang lain pun nak belajar juga. Kalau kita tak  boleh nak fokus, jangan kacau kawan kita yang tengah fokus…sekurang-kurangnya kalau kita tidak faham nanti, bolehlah kita bertanya atau minta tunjuk ajar daripada mereka.

4. Datang awal, sambil menunggu guru

Selalunya memang sengaja saya lambatkan perjalanan saya ke ICT Lab supaya dapat melihat pelajar-pelajar  menunggu saya di luar lab. Acapkali kedengaran mereka merungut, “cikgu ni lambatlah,kitorang dah sampai dulu”.

Saya hanya  tersenyum. Niat di hati cuma ingin menerapkan disiplin dalam diri mereka supaya datang awal dan menunggu di luar  sehingga guru datang dan jangan sekali-kali masuk selagi guru tidak memberi keizinan. alhamdulillah, mereka ini  mendengar kata juga. Harap disiplin ini dapat membantu mereka mengawal diri dalam kehidupan seharian…

Lagipun sebagai seorang yang ingin menuntut ilmu, memang wajar bagi si pelajar menunggu si guru dan bukan sebaliknya. kerna si pelajar yang ingin menimba ilmu…

seperti contoh apabila menadah air hujan, adakah kita  menunggu sehingga hujan turun, baru keluar untuk meletakkan tempayan….atau kita sudah menyediakan tempayan di luar dari awal sebelum kita tahu bila hujan nak turun.

Tentulah kita dah letak tempayan tu awal-awal lagi di luar kan…takkan nak tunggu hujan turun, baru nak dibawa tempayan ke luar. Silap-silap haribulan, tempayan baru sahaja diletakkan,hujan pula dah berhenti. Tak sempat nak tadah air…Jadi kesimpulannya, murid atau pelajar juga harus bersikap begitu. Menunggu guru bukan guru menunggu kita. Kemudian bila dah masuk ke kelas,pastikan dah bersedia dari mula untuk menadah ilmu dari guru (sediakan buku yang sesuai untuk catat apa yang perlu)…bukan menunggu guru sudah mencurahkan ilmu,sudah bercakap panjang.. baru kita pun tergesa-gesa keluarkan buku atau memasang telinga untuk mengaut input…kalau tak cukup pantas, mungkin akan tertinggal mendengar beberapa input berharga dari guru seperti hint atau klu untuk peperiksaan, atau mungkin juga  tips untuk membuat assignment/projek sekolah bertaraf gred A+.


5. Beri salam & bersalaman (jika boleh)

Ada antara pelajar-pelajar saya (yang perempuan) mengamalkan adab ini secara berterusan. namun ada juga yang  mengamalkannya sekali sekala. Bila ada mood,salam. Bila lupa atau marah pada guru, lansung tidak disalam malah  berpaling muka lagi ada. Alangkah indahnya kalau setiap kali berjumpa guru, kita memberi ucap salam dan  menyalam juga tangan guru serta menciumnya. Sejuk hati guru melihatnya, hilang terus amarah dalam hati..malah  untung-untung didoakan pula oleh guru tersebut akan kesejahteraan anak-anak muridnya.

Bukan susah pun untuk  memberi ucap salam..itu kan doa kita untuk orang lain dan bila salam dijawab, kita pula yang akan didoakan  kesejahteraannya. Tak mahukah kita mendapat doa daripada guru-guru kita? Manalah tahu berkat doa mereka, kita  bakal menjadi Menteri atau orang kaya di masa akan datang…siapa tahu?? dan bukan juga susah untuk menyalam  tangan guru..untung-untung dalam tangan guru ada duit RM10 sebagai duit raya, bolehlah dapat habuan sambil kita beramal+berbuat baik dengan guru (pastikan niat ikhlas,bukan sebab nak kejar RM10 tu)…

6. Tanya guru dengan Adab (bkn dengan niat menyindir)

Adab yang ini kadangkala susah sikit nak diamalkan. lagi-lagi oleh pelajar yang merasa diri mereka sudah hebat,  sudah bijak pandai…nak bertanya pada guru pun dengan nada yang agak sinis. seolah-olah cetek benar ilmu guru  tersebut. seolah-olah guru tersebut tidak pandai nak menjawab soalan mereka. Jika merasakan ilmu di dada itu sudah hebat sangat, tidak perlulah pergi berguru. pergilah cari ilmu sendiri dari kitab-kitab mahupun dari dasar lautan dan kemudian cuba amalkan sendiri. Nak tunjuk hebat, pergilah cari kawan-kawan sendiri. Usahlah nak berlagak hebat sehingga menghina dan memalukan guru kita yang mulia pula.

Ketahuilah bahawa memuliakan guru adalah sebahagian daripada memuliakan ilmu berdasarkan kepada kata-kata Saidina Ali r.a : “Aku adalah hamba abdi bagi orang yang mengajarkan aku satu huruf, maka terpulanglah kepada kehendaknya sama ada ingin menjual, memerdekakan atau mempergunakan aku sebagai hamba untuk berkhidmat kepadanya.

Ketua Hakim Fakhruddin Al-Irsabandi yang merupakan ketua ulama di Marwu, pernah berkata : “Sesungguhnya aku mampu mencapai kedudukan ini adalah kerana menghormati guru. Aku telah menjadi khadam kepada guruku Hakim Abu Yazid Ad-Dabusi. Aku telah melayaninya dan memasak makanan untuknya tetapi aku tidak pernah memakannya.”

Demikianlah tingginya martabat seorang guru kepada pelajarnya, menghormatinya adalah sebahagian dari menghormati ilmu. Malah orang yang sangat memuliakan gurunya, mereka sehingga sanggup menjadi khadam kerna terlalu kagum dan menghormati guru dan nilai ilmu yang akan diperoleh daripada guru tersebut. Jika kita sangat menghargai dan menghormati nilai ilmu, sewajarnya kita sedar dan akui bahawa guru adalah insan mulia yang telah menyampaikan ilmu-ilmu tersebut kepada kita. walau hatta sekecil zarah sekali pun..ada terletak sedikit titik peluh keringat guru pada ilmu yang disampaikan. Walaupun ilmu tersebut bisa kita peroleh dari tempat lain, tetapi ianya lebih bermakna dan memberi kesan apabila disampaikan oleh guru sendiri…malah berkat ilmu yang diterima daripada seorang guru berbeza..insyaAllah ilmu daripada seorang guru datang bersama doa daripada mereka yang sentiasa ingin melihat anak-anak murid mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Oleh itu anak-anak…dengan mengerti dan memahami kemuliaan seorang guru…serta mengetahui adab-adab untuk menuntut ilmu / memuliakan guru…apakah yang perlu anda lakukan?

Besar harapan cikgu supaya ilmu yang baru anda pelajari di atas ini dapat diamalkan..Cikgu juga berharap untuk diri sendiri..

INGATLAH…setiap ilmu yang kita dapat hendaklah kita amalkan supaya tidak serupa dengan orang-orang Yahudi. Sufyan bin ‘Uyainah –rahimahullah– mengatakan,

مَنْ فَسَدَ مِنْ عُلَمَائِنَا كَانَ فِيهِ شَبَهٌ مِنْ الْيَهُودِ وَمَنْ فَسَدَ مِنْ عِبَادِنَا كَانَ فِيهِ شَبَهٌ مِنْ النَّصَارَى

“Orang berilmu yang rusak (karena tidak mengamalkan apa yang dia ilmui) memiliki keserupaan dengan orang Yahudi. Sedangkan ahli ibadah yang rusak (karena beribadah tanpa dasar ilmu) memiliki keserupaan dengan orang Nashrani.” (Majmu’ Al Fatawa, 16/567)

Renung-renungkan dan selamat beramal~~

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: